Animasi sangat popular dalam kalangan kanak-kanak di seluruh negara. Oleh itu penting untuk memahami kesan keupayaannya terhadap tingkah laku kanak-kanak. Kertas konsep ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh animasi terhadap tingkah laku kanak-kanak, khususnya aspek tingkah laku agresif dan prososial. Berasaskan Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura (1977), kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan peniruan tingkah laku model yang dilihat, termasuk media animasi. Selain itu, tinjauan literatur mendapati bahawa kandungan prososial dalam animasi dapat memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, empati, dan sikap tolong-menolong, manakala kandungan berunsur keganasan dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku agresif, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Selain itu, animasi turut menyumbang pada perkembangan kemahiran bahasa, kreativiti, dan kognitif kanak-kanak. Selanjutnya, kajian ini turut mengenal pasti jurang dalam penyelidikan sedia ada, seperti kurangnya kajian jangka panjang dan pengaruh animasi terhadap tingkah laku kanak-kanak di Malaysia. Oleh itu, kajian ini diharapkan dapat menyumbang pada literatur tempatan serta membantu pendidik dan ibu bapa dalam memilih kandungan animasi yang sesuai untuk kanak-kanak.