Menurut Matthew Ball (2022) Metaverse ditakrifkan sebagai satu rangkaian dunia maya tiga dimensi yang berskala besar dan boleh dikendalikan serta dialami oleh ramai pengguna secara serentak di mana pengguna boleh mempunyai identiti sendiri dan juga kesinambungan data seperti identiti, sejarah, kelayakan, objek, komunikasi serta pembayaran. Metaverse merupakan satu teknologi baru yang pesat berkembang dan mempunyai banyak manfaat dalam pelbagai sektor memandangkan teknologi menjadi semakin canggih saban hari. Justeru itu, kajian tinjauan ini dijalankan untuk menyelidik tahap keberkesan penggunaan Metaverse dalam membantu pembelajaran dengan memanfaatkan ZEPETO sebagai platform untuk pelajar tingkatan empat. Kajian ini merupakan satu kajian kuantitatif yang menggunakan kaedah tinjauan ringkas yang telah dilakukan ke atas lapan orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak. Data kajian dikumpulkan menggunakan instrumen soal selidik dalam bentuk Google Form yang diedarkan kepada para pelajar melalui penghantaran pautan menggunakan platform Whatsapp. Hasil kajian ini menunjukkan kebanyakan pelajar bersetuju bahawa Metaverse yang memanfaatkan platform ZEPETO berkesan dalam membantu pembelajaran pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak.