Kosa kata adalah aspek asas bagi sesuatu bahasa. Penguasaan kosa kata membantu dalam proses komunikasi. Oleh itu, kaedah pengajaran yang bersesuaian memainkan peranan yang amat penting dalam membantu meningkatkan penguasaan kosa kata dalam kalangan pelajar. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji sejauh mana penggunaan kaedah pengajaran Total Physical Response (TPR) dapat meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Mandarin. Ia juga bertujuan untuk mengkaji sejauh mana kaedah pengajaran TPR dapat meningkatkan daya ingatan pelajar terhadap kosa kata bahasa Mandarin. Kajian ini berbentuk kuantitatif. Sampel kajian adalah pelajar bukan penutur natif bahasa Mandarin yang sedang mengikuti kursus bahasa Mandarin sebagai bahasa asing peringkat permulaan di salah sebuah kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) iaitu Malaysian Institute of Information Technology (MIIT). Kumpulan rawatan menggunakan kaedah pengajaran TPR manakala kumpulan kawalan menggunakan kaedah pengajaran konvensional. Ujian pra dan ujian pasca digunakan sebagai instrument dalam kajian ini. Secara keseluruhan, dapat disimpulkan bahawa kaedah pengajaran TPR adalah lebih berkesan daripada kaedah pengajaran konvensional. Pelajar dalam kumpulan rawatan menerima keputusan yang lebih baik selepas mengikuti kaedah pengajaran TPR. Justeru itu, dicadangkan agar kaedah pengajaran TPR digunakan semasa di dalam kelas semasa pengajaran kosa kata, khususnya bagi pengajaran bahasa Mandarin sebagai bahasa asing peringkat permulaan.