Penglibatan dalam aktiviti sukan dapat memberikan kebaikan serta tahap kualiti kehidupan terhadap seseorang individu. Aktiviti sukan bukan sahaja amalan hobi bagi sesetengah individu malah ia juga dipercayai dapat memberikan pelbagai perkara positif dalam aspek kehidupan seperti kesihatan diri, hubungan & pergaulan sesama manusia. Walaubagaimanapun komitmen dalam aktiviti sukan adalah bergantung kepada matlamat dan hasil yang diinginkan oleh setiap individu atau sesuatu pasukan . Kajian ini bertujuan untuk mengkaji komitmen pelajar atlet dengan menggunakan Questionnaire Model Sport-2 (SCQ-2). Model Komitmen Sukan digunakan secara meluas untuk memahami motivasi dan komitmen para atlet untuk terus bermain sukan. Seramai 251 responden yang menyertai Kejohanan Sukan Kolej Komuniti 2019 dipilih dalam kajian ini yang mengukur 12 subskala komitmen sukan. Semua data dianalisis menggunakan statistik diskriptif, perbandingan min, ujian-t sampel tidak bersandar. Hasilnya dapatan menunjukkan keseronokan sukan adalah faktor utama yang telah menyumbang kepada komitmen atlet dalam semua jenis sukan. Manakala hasil dapatan ujian-t tidak bersandar pula mendapati tidak mempunyai perbezaan yang signifikan berdasarkan jantina perempuan dan lelaki terhadap komitmen sukan.