Stres merupakan satu keadaan resah yang dialami oleh seseorang akibat tekanan fizikal atau mental. Sesiapa sahaja boleh terdedah kepada keadaan ini selagi mana masalahnya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa tertentu. Kebiasaannya, punca utama stres seringkali dikaitkan dengan masalah dalam kehidupan seperti masalah peribadi, masalah persekitaran dan lain-lain. Kesan stres boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang dan orang sekelilingnya. Namun begitu, setiap individu mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani konflik stres yang dialaminya. Fokus kajian ini adalah analisis punca-punca dan tahap stres serta kaedah yang sering dilakukan oleh pelajar. Sampel kajian merupakan pelajar semester akhir Diploma Geomatik di Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah. Sebanyak 70 sampel kajian telah diperolehi dalam kajian ini yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan. Analisis statistik deskriptif telah menunjukkan bahawa faktor akademik merupakan punca stres bagi pelajar lelaki dan perempuan dengan nilai min masing-masing 3.212 dan 3.363 berbanding faktor peribadi (nilai min 2.879 dan 2.970, masing-masing). Hasil ujian-t mendapati tiada perbezaan yang signifikan antara tahap stres pelajar lelaki dan perempuan. Berdasarkan hasil kajian, tahap stres dalam kalangan responden adalah sederhana. Dapatan ini menggambarkan bahawa pelajar berupaya mengawal konflik stres mereka. Namun begitu, perhatian daripada pihak jabatan dan unit kaunseling adalah diperlukan terutama dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan punca masalah akademik. Punca-punca tersebut perlu diperincikan dan diperhalusi untuk mencapai matlamat dalam menghasilkan pelajar TVET yang berketrampilan dalam pelbagai aspek termasuk mental dan emosi.