Penterjemahan istilah budaya dalam karya sastera merupakan salah satu unsur yang sangat penting dalam mewujudkan kefahaman tentang budaya sesuatu bangsa. Hal ini kerana bahasa adalah alat dalam menyampaikan maklumat. Sekiranya terdapat kesalahan dalam menterjemahkan sesuatu istilah budaya, maka timbullah kesilapan dalam komunikasi. Selain memberi keseronokan, sastera juga memberi pengetahuan dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya untuk mengenali budaya sesuatu bangsa sama ada Malaysia atau Thailand. Justeru itu, kertas kerja ini akan mengenalpasti apakah istilah budaya yang wujud di dalam karya sastera. Seterusnya mengkaji apakah teknik penterjemahan yang digunapakai oleh penterjemah dalam menterjemah istilah yang berkaitan dengan budaya dan bagaimanakah cara mengatasinya. Kajian ini menumpukan perbincangan terhadap novel Arus (1985) karya Anwar Ridhwan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai pada tahun 1988 oleh Jalal. Kajian ini mendapati bahawa terdapat beberapa jenis istilah budaya dalam novel Malaysia yang kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai dengan menggunakan beberapa teknik penterjemahan. Antaranya ialah teknik penokokan, pengurangan dan pengubahan atau pindaan. Walau bagaimanapun, teknik yang sering digunakan oleh penterjemah ialah teknik penokokan dengan cara menambahkan maklumat di dalam teks atau diberikan penjelasan dalam bentuk nota kaki. Selain itu, kajin ini juga didapati penterjemah menghadapi masalah ketidakfahaman tentang istilah budaya yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di negara Malaysia. Hasilnya penterjemah menggunakan teknik menterjemah istilah tersebut dengan cara mentransliterasikan ke dalam bahasa Thai. Maka istilah yang diterjemahkan itu tidak dapat memberi pemahaman yang jelas kepada pembaca. Dengan demikian, kajian ini adalah salah satu usaha untuk mencari jalan bagaimanakah caranya untuk mewujudkan kesefahaman baik antara dua negara melalui karya sastera.