Pengaplikasian PaW Terhadap Keseragaman Rima Akhir Pantun Dua Baris
List of Authors
Muhammad Azis, Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad
Keyword
Intervensi PaW, pantun dua baris, keseragaman rima, kegramatisan, pedagogi visual, penyelidikan tindakan, bahasa Melayu
Abstract
Kajian ini meneliti pengaplikasian intervensi Pantun W (PaW) dalam meningkatkan keseragaman rima akhir dan kegramatisan penulisan pantun dua baris dalam kalangan murid Tahun Enam di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Kajian ini berbentuk penyelidikan tindakan berasaskan model reflektif Jean McNiff yang menekankan penambahbaikan berterusan terhadap amalan pedagogi. Intervensi PaW yang diinspirasikan daripada bentuk huruf “W” direka bentuk sebagai rangka visual bagi membantu murid memahami keseimbangan struktur dan keseragaman rima antara dua baris pantun. Pelaksanaan kajian ini berteraskan Teori Pemerolehan Bahasa Kedua oleh Krashen (1987) dan Teori Zon Perkembangan Proksimal oleh Vygotsky (1978) yang menegaskan kepentingan input yang boleh difahami dan bimbingan berperingkat (scaffolding) dalam proses pembelajaran bahasa. Data diperoleh melalui ujian awal dan akhir, pemerhatian, serta temu bual untuk menilai keberkesanan PaW terhadap aspek rima, diksi dan keseimbangan bunyi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa PaW berkesan dalam membantu murid menguasai struktur rima, meningkatkan ketepatan sintaksis, serta memupuk kreativiti berbahasa melalui pendekatan visual yang interaktif dan menyeronokkan. Kesimpulannya, pengintegrasian pendekatan visual dalam pengajaran puisi tradisional Melayu bukan sahaja memperkukuh kemahiran linguistik murid, malah turut mempertingkatkan apresiasi mereka terhadap keindahan dan nilai budaya bahasa Melayu.