Pembelajaran kendiri kini mendapat tempat dalam kalangan para pengajar sebagai salah satu kaedah untuk membantu pelajar meneroka dan mencapai objektif pembelajaran mereka. Tujuan kajian ini adalah untuk meninjau trend dan pendekatan pembelajaran kendiri di seluruh dunia. Pendekatan adalah merujuk kepada alat pembelajaran kendiri yang digunakan oleh para pengajar untuk mencapai objektif pembelajaran yang dikehendaki. Kajian Tinjauan Literatur Sistematik (SLR) terhadap implimentasi pendekatan pembelajaran kendiri yang dijalankan oleh tenaga pengajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) adalah kaedah utama dalam kajian ini. Kajian ini berpandukan Preferred Reporting Items for Systematic reviews and Meta-Analyses (PRISMA) yang melalui empat fasa pemilihan. Pemilihan artikel pada fasa pertama telah berjaya memilih sebanyak 756 artikel. Carian artikel menggunakan kata kunci dalam bahasa Inggeris seperti self-learning, self-thaught dan self-study serta kata kunci dalam bahasa Melayu iaitu pembelajaran kendiri dibuat dalam tiga pangkalan data iaitu Scopus, ERIC dan MyJurnal. Sebanyak 16 artikel telah dipilih untuk disintesiskan pada fasa kelayakan berdasarkan enam syarat pemilihan serta pengecualian. Analisis kajian ini telah mengenal pasti 8 negara yang terlibat, dan Malaysia mendahului dalam kajian berkaitan pendekatan pembelajaran kendiri di pelbagai peringkat pendidikan, iaitu di peringkat pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Kajian ini menunjukkan bahawa para pengajar telah melaksanakan pendekatan pembelajaran kendiri dengan menggunakan pelbagai jenis bahan seperti aplikasi mudah alih, bahan bercetak dan bahan digital yang dapat membantu meningkatkan kemahiran pembelajaran kendiri pelajar. Berdasarkan dapatan kajian ini dapat digunakan sebagai panduan para pengajar untuk merangka pendekatan pembelajaran kendiri yang sesuai dengan kebolehan para pelajar bagi mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap mata pelajaran yang dipelajari.