Penglibatan aktiviti fizikal dikaitkan dengan pelbagai kebaikan terhadap kesihatan. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji tahap penglibatan aktiviti fizikal dan tahap BMI murid Melanau, Sarawak. Instrumen kajian yang digunakan adalah Physical Activity Questionnaire for Older Children (PAQ-C). Populasi kajian adalah terdiri daripada murid Melanau yang berumur antara 10 hingga 12 tahun. Kaedah penentuan sampel yang digunakan adalah jadual penentuan sampel Krecjie dan Morgan (1970). Dapatan menunjukkan bahawa tahap penglibatan aktiviti fizikal murid Melanau adalah tidak aktif. Tahap BMI murid Melanau pula menunjukkan bahawa berada dalam kategori ideal secara keseluruhan iaitu 95.8% dengan min = 18.18kgm-2. Hasil ujian korelasi pearson mendapati bahawa penglibatan aktiviti fizikal mempunyai hubungan negatif yang rendah yang signifikan terhadap BMI dalam kalangan murid perempuan iaitu r = -0.339; p < 0.01 = 0.008. Manakala, tidak terdapat hubungan yang signifikan antara penglibatan aktiviti fizikal terhadap tahap BMI dalam kalangan murid lelaki iaitu p > 0.05. Penglibatan aktiviti fizikal adalah komponen yang penting dalam mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit. Pihak sekolah perlu menjadikan waktu Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan adalah waktu untuk menggalakkan murid melakukan aktiviti fizikal.