Multimedia merupakan salah satu aspek yang digunakan secara meluas seiring dengan peredaran masa namun terdapat kajian menyatakan multimedia tidak diadaptasi secara menyeluruh ke dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk melihat tahap pengetahuan dan kesediaan guru Bahasa Iban (GBI) terhadap penggunaan multimedia dalam pengajaran. Kaedah kajian ini adalah kuantitatif dengan edaran soal selidik atas talian secara rawak kepada Guru Bahasa Iban di sekolah rendah daerah Sri Aman. Seramai 102 guru yang terlibat dalam kajian ini. Data bagi kajian ini dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 16.0. Seterusnya, statistik deskriptif dalam kajian ini akan melibatkan aspek seperti frekuensi, skor min dan juga peratusan, manakala statistik inferensi melibatkan ujian–t dan ANOVA pada tahap kesignifikanan p < 0.05. Pengkaji berharap hasil kajian ini dapat membantu pihak sekolah, guru dan Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya Bahagian Pendidikan Bahasa Iban dalam menambah baik usaha atau program ke arah penyediaan guru yang berkemahiran, berpengetahuan serta bersedia untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang bagi membantu dalam meningkatkan minat dan pencapaian pelajar terhadap mata pelajaran Bahasa Iban.