Ketahanan Rantaian Bekalan: Pemacu Kestabilan Ekonomi dan Keselamatan Serantau ASEAN-Malaysia
List of Authors
Noraini Zulkifli
Keyword
ASEAN, Ekonomi, Keselamatan Serantau, Malaysia, Rantaian Bekalan
Abstract
Ketahanan rantaian bekalan semakin diiktiraf sebagai instrumen strategik dalam menjamin kelangsungan ekonomi dan keselamatan negara, terutamanya dalam konteks Malaysia dan ASEAN yang terdedah kepada kejutan sistemik berskala global. Artikel ini meneliti konsep ketahanan rantaian bekalan dalam kerangka pasca-COVID-19, ketegangan geopolitik yang berlarutan, serta impak perubahan iklim terhadap kesinambungan sistem logistik dan pengeluaran. Kajian ini bertujuan menjawab tiga persoalan utama, iaitu: (i) apakah dimensi asas ketahanan rantaian bekalan di peringkat serantau; (ii) sejauh mana dasar dan inisiatif nasional menyumbang kepada pengukuhan sistem bekalan yang mampan; dan (iii) apakah implikasi strategik ketahanan tersebut terhadap keselamatan ekonomi serta daya saing negara. Berasaskan pendekatan kualitatif, kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan terhadap dokumen dasar, laporan organisasi antarabangsa, dan sorotan literatur terpilih berkaitan strategi rantaian bekalan dalam konteks ASEAN. Dapatan kajian menunjukkan bahawa negara-negara ASEAN yang melaksanakan strategi kepelbagaian sumber dan transformasi digital menerusi inisiatif seperti Framework on ASEAN Supply Chain Resilience dan Digital Economy Framework Agreement (DEFA) lebih bersedia menghadapi gangguan sistemik merentas sektor, termasuk krisis makanan, tenaga dan bahan mentah. Sebaliknya, Malaysia masih berdepan jurang struktur dalam membina ekosistem pembekal tempatan yang inklusif dan tangkas, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang memerlukan suntikan pelaburan berterusan dalam teknologi canggih, latihan teknikal, dan sistem keselamatan siber.