: Kepimpinan instruksional guru besar mampu mengangkat kecemerlangan dan memotivasikan guru-guru di sesebuah institusi pendidikan serta menyumbang kepada kemenjadian modal insan. Kajian mendapati pemimpin sekolah kurang memberi tumpuan kepada amalan kepimpinan instruksional dalam memotivasikan guru-guru melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai seorang guru. Kajian juga menunjukkan pemimpin kurang mengamalkan kepimpinan intruksional kerana rencam tugas dalam urusan pentadbiran. Oleh itu, kajian dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti amalan kepimpinan instruksional guru besar dan hubungannya dengan motivasi guru. Kajian ini akan membantu KPM, JPN, PPD dan sekolah tentang amalan kepimpinan instruksional guru besar dan menjadi satu garis panduan untuk pembinaan model kepimpinan berdasarkan budaya di Malaysia. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kuantitatif dengan penggunaan kaedah tinjauan soal selidik untuk memperoleh data. Instrumen yang digunakan menerusi Google Form dan ditadbir secara dalam talian. Sampel kajian terdiri daripada 306 orang respondan berdasarkan jadual persampelan Kerjcie dan Morgan (1970). Pemilihan responden adalah melalui kaedah persampelan kebarangkalian atau persampelan rawak mudah. Data yang diperoleh dianalisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS VERSI V26). Dapatan kajian membuktikan amalan kepimpinan instruksional guru besar dan motivasi guru berada pada tahap sangat tinggi iaitu skor min amalan kepimpinan instruksional(min 4.40, SP= .423), skor min motivasi guru (min 4.42, SP= .410) dan terdapat hubungan signifikan antara amalan kepimpinan instruksional guru besar dan motivasi guru sekolah rendah. Hasil kajian juga dapat memberi maklumat berkaitan amalan kepimpinan intstruksional guru besar untuk dijadikan rujukan kepada pentadbir sekolah, PPD, JPN dan KPM. Kajian ini menunjukkan amalan kepimpinan instruksional pemimpin sangat releven dilaksanakan di sekolah dan menjadi salah satu gaya kepimpinan yang perlu diamperhatian kepada para pentadbir di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dan berupaya meningkatkan motivasi guru melalui aktiviti-aktiviti instruksional.