Pandemik COVID-19 yang diistiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melanda dunia dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah merancakkan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian berikutan penutupan sektor pendidikan. Selaras dengan itu, pelajar politeknik Malaysia perlu melaksanakan pembelajaran melalui proses Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian. Proses ini memerlukan bahan pembelajaran yang sesuai dan berkesan dalam memastikan pelajar memahami dengan jelas terutamanya pembelajaran yang memerlukan pemahaman asas. Augmented Reality (AR) adalah teknologi yang menarik dan mudah diakses yang digunakan untuk meningkatkan pemahaman dalam proses pembelajaran. AR membolehkan penambahan objek maya ke dalam persekitaran sebenar untuk memudahkan interaksi secara nyata. Teknologi ini dilihat sebagai media inovatif yang sangat menarik dan berkesan ketika mengajar dan belajar. Dalam inovasi teknologi masa kini, Model Penerimaan Teknologi (TAM) sangat ketara. Tujuan utama model TAM adalah untuk menjelaskan dan memahami faktor-faktor yang mempengaruhi penerimaan dan tingkah laku pengguna terhadap penggunaan teknologi moden seperti AR. Dalam proses pendidikan, platform yang menggunakan augmented reality dan berjaya dilaksanakan adalah aplikasi Blippar. Dalam kursus Digital Electronics, masalah yang dihadapi semasa proses pengajaran dan pembelajaran adalah pelajar menghadapi kesukaran untuk mengingat dan memahami get-get asas dan jadual kebenarannya dengan betul. Get logik asas adalah konsep penting untuk mempelajari elektronik. Memahami get-get asas dan jadual kebenarannya sangat penting bagi pelajar untuk mendapatkan keluaran litar dan membina litar logik. Untuk mengatasi masalah tersebut, AR direkabentuk sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran menggunakan aplikasi Blippar. Rekabentuk ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran interaktif untuk pelajar dalam topik get logik asas dan memahami topik dengan cepat. Hasil dapatan menunjukkan, AR yang direkabentuk dan diuji kebolehfungsiannya boleh dicapai menggunakan aplikasi Blippar yang dimuatnaik ke telefon pintar. Pengkaji berharap dengan pembangunan rekabentuk AR ini dapat menyediakan kemudahan pembelajaran interaktif untuk topik get logik asas dengan elemen AR dalam peranti mudah alih.