Penglibatan Komuniti dalam Keselamatan Jalan Raya: Pandangan Kajian Kualitatif di Malaysia
List of Authors
  • Amelia Hazreena Abdul Ghani, Nurul Khairani Ismail

Keyword
  • Keselamatan jalan raya, Penglibatan Komuniti, Perubahan Tingkah Laku, Faktor psikososial

Abstract
  • Keselamatan jalan raya terus menjadi cabaran utama di Malaysia meskipun pelbagai inisiatif pendidikan, langkah penguatkuasaan, dan kempen kesedaran dilaksanakan secara berterusan. Kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang semakin meningkat menunjukkan jurang yang ketara antara tahap kesedaran awam dengan kepatuhan tingkah laku sebenar pengguna jalan raya. Situasi ini memerlukan pemahaman yang lebih mendalam mengenai faktor-faktor yang menghalang terjemahan kesedaran kepada amalan keselamatan yang konsisten. Secara khususnya, terdapat keperluan untuk meneliti peranan penglibatan komuniti, yang sering dianggap sebagai strategi utama dalam intervensi keselamatan jalan raya. Kajian ini bertujuan untuk meneroka secara kualitatif bagaimana inisiatif penglibatan komuniti dalam keselamatan jalan raya difahami, dilaksanakan, dan bagaimana ia mempengaruhi tingkah laku pengguna jalan raya. Reka bentuk kajian kualitatif telah digunakan melalui perbincangan kumpulan berfokus yang melibatkan ahli komuniti, ahli akademik, dan pihak berkepentingan dalam keselamatan jalan raya. Analisis tematik mengenal pasti empat tema utama iaitu kesedaran dan amalan tingkah laku, pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya, penglibatan komuniti dan penguatkuasaan, serta motivasi dan insentif untuk keselamatan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa walaupun kesedaran keselamatan adalah tinggi, perubahan tingkah laku sering dipengaruhi oleh faktor psikososial, norma komuniti, penguatkuasaan yang tidak konsisten, serta kekurangan pendekatan yang mampan dan mengikut konteks.Kajian ini menegaskan bahawa intervensi keselamatan jalan raya yang berkesan memerlukan pendekatan bersepadu. Sumbangan utama kajian ini menyerlahkan keperluan peralihan daripada kempen bersifat umum kepada intervensi berasaskan konteks tempatan dan penglibatan komuniti secara organik. Implikasinya, pembuat dasar dicadangkan untuk mengintegrasikan elemen motivasi psikososial dan penguatkuasaan mendidik bagi merapatkan jurang antara kesedaran dan amalan sebenar pengguna jalan raya.

Reference
  • No References Recorded