Salah satu faktor penentu kecemerlangan bagi sesebuah organisasi adalah melalui kepimpinan. Berlakunya konflik kepimpinan antara pentadbir dengan guru-guru di sekolah disebabkan oleh kegagalan di dalam pemilihan trend kepimpinan di dalam organisasi. Justeru, tujuan kajian yang dilakukan ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di salah sebuah sekolah rendah di negeri Selangor. Kajian ini telah dijalankan ke atas 52 orang responden yang terdiri daripada guru-guru di salah sebuah sekolah rendah yang berada di dalam daerah Petaling Perdana. Pengkaji menggunakan kaedah tinjauan berbentuk kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik. Data yang diperolehi dianalisis secara deskriptif menggunakan min dan sisihan piawai manakala secara inferensi dengan menggunakan Korelasi Pearson. Dapatan menunjukkan bahawa tahap kepimpinan lestari guru besar adalah tinggi (M = 4.30, SP = 0.49) dan tahap kesihatan mental guru adalah rendah (M = 1.43, SP = 1.54). Selain itu, hasil dapatan kajian juga turut membuktikan bahawa terdapat hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah (r = 0.293, p<0.05). Oleh yang demikian, gaya kepimpinan yang diamalkan oleh guru besar di sekolah akan menentukan jatuh bangun bagi sesebuah organisasi dan seterusnya akan turut memberi kesan kepada kesihatan mental guru di sekolah.