Pembelajaran berasaskan simulasi merupakan antara kaedah yang digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai perisian simulasi boleh diaplikasi sebagai alat bantu mengajar yang membolehkan pelajar memahami konsep litar resonan seperti Matlab, LabVIEW, PSCAD dan Pspice. Implementasi simulasi sebagai alat bantu mengajar membolehkan pelajar membuat simulasi litar resonan terlebih dahulu sebelum melaksanakan amali sebenar. Justeru, pembangunan litar simulasi yang mengandungi tiga komponen pasif iaitu R-L-C bertujuan sebagai pemudahcara agar pelajar memahami konsep analisis litar resonan dengan lebih baik. Rekabentuk simulasi litar resonan R-L-C yang dibangunkan, menggunakan perisian Psipce bagi mendapatkan graf resonan. Hasil rekabentuk litar resonan yang dihasilkan menunjukkan graf resonan yang diperolehi mengandungi nilai frekuensi, arus maksimum dan jalur lebar. Secara rumusannya, simulasi litar resonan membantu pelajar dalam meningkatkan penguasaan terhadap analisis litar resonan serta membolehkan pelajar menguasai perlaksanaan amali sebenar secara teratur dan bersistematik.