Motivasi merupakan salah satu elemen penting yang mendorong murid India untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti motivasi murid India sekolah vernakular Tamil dalam mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Kajian kuantitatif berbentuk kaedah tinjauan ini melibatkan seramai 50 orang murid India tahun 4, 5 dan 6 dari sebuah sekolah vernakular Tamil luar bandar di daerah Batu Pahat, Johor dipilih sebagai sampel kajian. Responden kajian dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan. Soal selidik digunakan sebagai instrumen utama dalam mengumpul data kajian yang mengandungi 13 item. Pengumpulan data dianalisis menggunakan perisian Microsoft Excel Windows 10 bagi memperoleh data deskriptif. Hasil kajian menunjukkan bahawa murid India mempunyai motivasi yang tinggi dalam mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Hal ini membuktikan bahawa motivasi yang positif dapat meningkatkan tahap penguasaan murid India terhadap pembelajaran bahasa Melayu. Justeru itu, guru bahasa Melayu harus menggunakan kepelbagaian teknik dan kaedah yang bersesuaian bagi memotivasikan murid India dalam menguasai kemahiran bahasa dengan lebih baik.