Abstrak: Efikasi kendiri adalah kemampuan diri sendiri untuk melakukan sesuatu tugasan terutama di dalam aktiviti pembelajaran. Kajian ini bertujuan mengkaji hubungan antara penggunaan alat interaktif terhadap efikasi kendiri murid dalam pendidikan matematik. Seramai 138 orang murid Tahap 2 di sebuah sekolah kebangsaan Daerah Petaling Perdana dipilih secara rawak sebagai responden kajian. Terdapat dua aspek yang dikaji iaitu kekerapan penggunaan alat interaktif dan hubungan antara penggunaan alat interaktif terhadap efikasi kendiri murid. Kajian ini menggunakan ujian ANOVA dan Korelasi Pearson untuk menjawab soalan kajian. Hubungan penggunaan alat interaktif dalam pembelajaran matematik berdasarkan umur dikaji dengan menggunakan analisis varian sehala (ANOVA). Hasil dapatan menunjukkan bahawa [F(2, 136) = 0.77, p = 0.47]. Terdapat perbezaan yang signifikan antara penggunaan alat interaktif dalam pembelajaran matematik berdasarkan umur. Bagi menjawab soalan kajian kedua, ujian Korelasi Pearson telah digunakan. Hasil dapatan menunjukkan bahawa (r = .69, p < 0.05), terdapat hubungan yang signifikan penggunaan alat interaktif terhadap efikasi kendiri murid dalam kelas matematik. Kesimpulannya, efikasi kendiri murid bergantung pada penggunaan alat interaktif dalam pembelajaran matematik.