Masalah Kesihatan Mental Ketika Pandemik Covid-19 Di Malaysia Dan Kesan Terhadap Keselamatan Insan
List of Authors
Elly Sharvilla Mohd Yusof, Noraini Zulkifli
Keyword
COVID-19, Keselamatan Insan, Kesihatan Mental, Malaysia
Abstract
Pandemik COVID-19 telah menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam masalah kesihatan mental di Malaysia sejak tahun 2019, sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kesan masalah kesihatan mental terhadap individu dan masyarakat semasa pandemik serta langkah- langkah yang perlu diambil untuk menangani isu ini. Dalam kajian ini mempunyai 3 objektif utama iaitu untuk mengenal pasti jenis-jenis masalah kesihatan mental yang berlaku sewaktu pandemik COVID-19, mengkaji kesan masalah kesihatan mental terhadap keselamatan insan dan menganalisis langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kesihatan mental. Kajian ini turut menggunakan metod kualitatif dengan menggunakan sumber sekunder seperti dokumen bercetak dan dalam talian yang boleh dipercayai. Konsep keselamatan insan semasa pandemik digunakan untuk menerangkan fenomena yang dikaji melalui faktor ekonomi dan sosial yang saling berkait di Malaysia. Terdapat 3 dapatan dari kajian ini iaitu yang pertama ialah jenis masalah kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan, gangguan tidur, tekanan pasca trauma dan stres yang dihadapi oleh masyarakat di Malaysia. Seterusnya ialah kesan masalah kesihatan mental terhadap keselamatan insan seperti peningkatan kes bunuh diri, masalah jenayah, kesan terhadap ekonomi, kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan juga kesan terhadap pendidikan. Selain itu, langkah-langkah kerajaan dalam mengatasi masalah mental iaitu dengan mengembangkan aplikasi dalam talian, kempen kesedaran atau pendidikan, kerjasama dengan sektor swasta, bantuan kewangan, membina pusat rawatan komuniti di luar bandar dan membuat perkhidmatan kesihatan secara bergerak ke kawasan pedalaman oleh kerajaan seperti dikenal pasti sebagai strategi yang berkesan untuk mengurangkan impak masalah ini. Kajian ini menyimpulkan bahawa pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan diperlukan untuk menangani cabaran ini dengan lebih efektif.