Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan keseragaman pemarkahan bagi penilaian Case Study pelajar melalui penghasilan Case Study Rubric 2.0. Kajian dijalankan terhadap 7 orang pensyarah yang mengajar kursus Engineering Mathematics 3 (DBM30033) dan Electrical Engineering Mathematic (DBM30043) di Jabatan Matematik Sains dan Komputer, Politeknik Seberang Perai. Tinjauan awal telah dilakukan melalui kaedah temubual terhadap pensyarah yang terlibat dan semakan tugasan Case Study pelajar yang telah diberikan markah. Berdasarkan tinjauan, didapati terdapat perbezaan dan ketidakseragaman markah di kalangan pensyarah yang mengajar kursus DBM30033 dan DBM30043. Majoriti pensyarah menghadapi kesukaran dari segi alat pengujian iaitu rubrik yang digunakan kerana ia masih bersifat sangat terbuka dan umum. Situasi ini mendorong pensyarah membuat tafsiran mengikut pemahaman sendiri semasa membuat penilaian. Justeru perancangan intervensi dilaksanakan melalui Bengkel Penyelarasan Rubrik Jun2020, dengan menjalankan 5 aktiviti iaitu Semakan1, Perbandingan Markah, Perbincangan Pemurnian Rubrik, Penghasilan Case Study Rubric 2.0 dan Semakan2. Semasa proses Semakan1, setiap pensyarah diberikan sampel skrip jawapan pelajar yang sama untuk dinilai. Markah daripada hasil penilaian Semakan1 kemudian dianalisis. Seterusnya, perbincangan pemurnian rubrik diadakan dengan meneliti kriteria rubrik yang mempunyai julat perbezaan markah yang ketara untuk ditambah baik. Hasil perbincangan, Case Study Rubric 2.0 telah dibangunkan dengan perincian yang lebih jelas bagi setiap item. Akhir sekali, pensyarah memeriksa sampel skrip jawapan sekali lagi dengan menggunakan rubrik baru semasa proses Semakan2. Hasil analisis markah Semakan 1 dan Semakan 2 menunjukkan markah yang berikan oleh pensyarah selepas menggunakan Case Study Rubric 2.0 lebih seragam dan konsisten. Analisis soal selidik persepsi pensyarah terhadap Case Study Rubric 2.0 yang telah diedarkan juga menunjukkan respon yang positif di mana penghasilan Case Study Rubric 2.0 sangat membantu pensyarah dalam membuat penilaian Case Study pelajar secara lebih konsisten dan adil. Secara keseluruhannya Case Study Rubric 2.0 berjaya meningkatkan keseragaman pemarkahan dalam penilaian Case Study pelajar bagi kursus DBM30033 dan DBM30043.