Kajian ini dijalankan bagi tujuan untuk mengkaji keberkesanan kaedah kartun dalam pencapaian murid tahun 4 bagi topik Sistem Suria matapelajaran Sains di sebuah sekolah di Hulu Langat, Selangor. Cabaran besar dalam pendidikan kini adalah dalam menghasilkan pembelajaran yang mempunyai tahap pemahaman yang maksimum. Oleh yang demikian, penggunaan kaedah alat bantuan mengajar merupakan suatu teknik baharu dalam bidang pendidikan. Salah satu kaedah pengajaran dengan menggunakan alat bantuan mengajar ialah teknik Kaedah Kartun. Kaedah kartun juga mempunyai kaitan yang rapat dalam akademik dimana ia membantu murid-murid untuk mendapatkan idea, mencabar pemikiran mereka dan menyokong murid-murid dalam mengembangkan pemahaman mereka dalam mempelajari sesuatu idea baru. Bagi proses pengumpulan data yang diperlukan dalam kajian ini, lapangan kajian yang di pilh adalah di sekolah rendah dan lokasi kajian dilakukan bertempat di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (SKBTHO), Selangor. Kajian eksperimen-kuasi dijalankan bagi mengetahui signifikasi kaedah kartun. Populasi dalam kajian ini adalah pelajar dari dua kelas Tahun 4 di SKBTHO dan sampel seramai 70 pelajar. Kaedah pengumpulan data kajian ini adalah melalui borang soal-selidik yang dibina berdasarkan kepada demografi responden dan konstruk kajian iaitu pencapaian pelajar yang diukur dengan skala Likert lima mata. Melalui borang soal selidik ini, keberkesanan kaedah kartun dalam pembelajaran topik Sistem Suria matapelajaran Sains akan diukur. Data yang dikumpul telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Packages Social Science (SPSS) versi 22 dan hasilnya ialah bagi keputusan independent t-test menunjukkan bahawa nilai min bagi kumpulan rawatan (76.34) lebih tinggi daripada nilai min bagi kumpulan kawalan (55.77). Perbezaan ini membuktikan peningkatan pencapaian dengan kaedah kartun berbanding kaedah buku teks berdasarkan pengiraan min yang berbeza. Manakala, signifikasi kajian ini adalah sebagai panduan untuk para pendidik memahami dan memilih kaedah pembelajaran yang sesuai dan menggunakannya dalam pembelajaran.