Strategi dan Cabaran Pengintegrasian Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains
List of Authors
Mohammad Hafiz Zaini, Umi Humaira Hasmadi
Keyword
kecerdasan buatan, PdP Sains, strategi AI, cabaran AI
Abstract
Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membawa transformasi dalam landskap pendidikan global, termasuklah dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sains. Kertas konsep ini bertujuan untuk mengenal pasti strategi dan cabaran utama pengintegrasian AI dalam usaha meningkatkan kualiti PdP Sains di Malaysia. Berdasarkan analisis kepustakaan, terdapat lima strategi utama yang telah dikenal pasti iaitu pembelajaran peribadi, penilaian adaptif, pembelajaran imersif, pembelajaran interaktif dan penilaian automatik. Strategi ini berpotensi membantu pelajar memahami konsep abstrak sains melalui pendekatan secara visual dan simulasi digital yang lebih kontekstual dan menyeronokkan. Namun demikian, pengintegrasian AI dalam PdP Sains turut berhadapan dengan beberapa cabaran seperti kekangan infrastruktur, kos pelaksanaan, kebergantungan berlebihan terhadap AI, keselamatan data serta isu etika. Seterusnya, implikasi kajian ini menekankan keperluan kepada latihan profesional berterusan untuk guru, pembangunan infrastruktur digital yang saksama serta garis panduan etika penggunaan AI dalam pendidikan. Dapatan ini diharap menjadi asas kepada penyelidikan lanjutan dan panduan dasar bagi memperkukuhkan integrasi AI dalam PdP Sains secara holistik dan mampan.