Kajian ini bertujuan untuk mengetahui kaedah dan cabaran pengajaran terbeza dalam meningkatkan penguasaan membina ayat bagi mata pelajaran bahasa Melayu murid di sekolah rendah. Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan kualitatif iaitu memilih persampelan bertujuan. Seramai empat orang guru yang mengajar bahasa Melayu tahap 2 di empat buah sekolah sebagai peserta kajian. Lokasi sekolah-sekolah yang dipilih untuk kajian ini adalah di kawasan pedalaman Kapit. Temu bual digunakan sebagai alat pengumpulan data kemudian dianalisis melalui transkripsi temu bual untuk mengenal pasti tema yang ada. Dapatan menunjukkan bahawa guru-guru menerima serta menggunakan pelbagai kaedah pengajaran terbeza yang sesuai dengan murid dalam meningkatkan penguasaan membina ayat. Kreativiti guru melaksanakan pengajaran terbeza ini dapat merapatkan lagi jurang penguasaan membina ayat dalam kalangan murid pandai, sederhana dan lemah. Namun begitu, masih terdapat cabaran untuk guru-guru di sekolah pedalaman dalam melaksanakan pengajaran terbeza dengan jayanya. Kesimpulannya, kaedah pengajaran terbeza ini penting untuk meningkatkan penguasaan murid membina ayat terutamanya murid yang lemah dan juga kemudahan yang mencukupi agar semua guru dapat melaksanakan kaedah ini sebaiknya di dalam kelas.