Pendidikan prasekolah merupakan pendidikan asas untuk semua individu termasuk murid-murid berkeperluan pendidikan khas. Oleh itu, pengetahuan guru prasekolah merupakan antara aspek penting dalam membantu murid-murid berkeperluan pendidikan khas ini untuk menerima pendidikan yang berkualiti seawal usia 5-6 tahun lagi. Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk mengenal pasti tahap pengetahuan guru prasekolah terhadap murid berkeperluan pendidikan khas. Kajian ini merupakan kajian kuantitatif yang menggunakan reka bentuk kajian tinjauan. Sampel bagi kajian ini adalah terdiri daripada 80 orang guru prasekolah di daerah Kota Tinggi yang dipilih melalui teknik persampelan rawak mudah. Kajian ini menggunakan instrumen soal selidik yang di adaptasi daripada Senarai Semak Penerimaan Kepelbagaian yang kemudiannya diedarkan kepada responden melalui Google Form. Data yang diterima dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) dan diterjemahkan di dalam bentuk frekuensi, peratus, min dan sisihan piawai. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap pengetahuan guru prasekolah terhadap murid-murid berkeperluan pendidikan khas adalah sederhana tinggi. Hasil daripada kajian ini dapat membantu memberikan maklumat mengenai kepentingan tahap pengetahuan guru prasekolah terhadap murid-murid berkeperluan pendidikan khas. Kesimpulannya, guru prasekolah haruslah berusaha dalam meningkatkan lagi tahap pengetahuan mereka agar dapat membantu menggalakkan lagi perkembangan murid-murid berkeperluan pendidikan khas ini semenjak peringkat prasekolah lagi.