Kajian ini bertujuan untuk melihat hubungan antara tahap kompetensi, kesediaan dan sikap guru dengan faktor pengalaman mengajar dan lokasi sekolah dalam menggunakan kemahiran berfikir Enam Topi Pemikiran dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah rendah di daerah Kapit, Sarawak. Kajian yang dijalankan berbentuk tinjauan berbentuk inferensi yang menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian. Responden kajian terdiri daripada 104 orang guru Bahasa Melayu di 45 buah sekolah rendah di daerah Kapit, Sarawak. Sampel kajian dipilih dengan menggunakan teknik persampelan bertujuan. Data analisis kajian dianalisis menggunakan pakej perisian statistik The Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 23.0. Statistik korelasi Pearson telah digunakan untuk menguji hipotesis kajian. Dapatan korelasi Pearson menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara kompetensi dan kesediaan guru dalam menggunakan kemahiran berfikir Enam Topi Pemikiran dengan faktor pengalaman mengajar tetapi mempunyai hubungan yang tidak signifikan antara sikap guru dengan faktor pengalaman mengajar. Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan hubungan yang signifikan antara kompetensi dan sikap dengan faktor lokasi sekolah tetapi mempunyai hubungan yang tidak signifikan antara kesediaan guru dengan lokasi sekolah menggunakan kemahiran berfikir Enam Topi Pemikiran dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Implikasi kajian ialah faktor pengalaman mengajar dan lokasi sekolah memberi kesan positif kepada pengajaran kemahiran berfikir Enam Topi Pemikiran.