Hubungan antara Penglibatan Aktiviti Fizikal dengan Tahap Kecergasan Fizikal Semasa Pandemik COVID-19 dalam kalangan Pelajar Kolej Profesional MARA
List of Authors
  • Mohd Radzani Abdul Razak

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Penglibatan aktiviti fizikal yang sistematik dan secara berterusan memberikan banyak manfaat ke atas kecergasan fizikal dan kesihatan. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji hubungan antara penglibatan aktiviti fizikal dengan tahap kecergasan fizikal semasa pandemik COVID-19 dalam kalangan pelajar Kolej Profesional MARA (KPM). Populasi kajian adalah terdiri daripada pelajar KPM di 6 buah KPM di Malaysia. Kaedah penentuan sampel adalah menggunakan jadual penentuan sampel Krecjie dan Morgan (1970) dan menggunakan kaedah pensampelan berstrata. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah borang soal selidik Physical Activity and Lifestyle Questionnaire (PAL-Q) dan penilaian kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan. Dapatan menunjukkan bahawa 190 orang adalah lelaki dan 316 orang adalah perempuan. Dapatan berkaitan dengan aktiviti fizikal menunjukkan bahawa min aktiviti TPA pelajar adalah 2,023.93 minit/minggu dengan penggunaan tenaga 374.77 kcal/minggu dan diklasifikasikan tidak aktif iaitu 88.7% berbanding 11.3% yang aktif. Bagi aktiviti MPA, min masa penglibatan adalah 1,666.19 minit/minggu. Min masa penglibatan aktiviti VPA adalah 357.75 minit/minggu. Bagi tahap kecergasan fizikal, dapatan menunjukkan tahap kecergasan fizikal tertinggi bagi ujian naik turun bangku 3 minit (NTB3M) adalah sederhana atas (19.8%), VO2max adalah cemerlang (39.1%), genggaman tangan (GT) adalah sangat tidak cergas (24.3%), lompatan jauh berdiri (LJB) adalah sangat tidak cergas (70.2%), dan fleksibiliti adalah sangat cergas (65.4%). Aktiviti TPA mempunyai hubungan yang sangat lemah yang signifikan antara NTB3M (r = 0.132; p = 0.003), VO2max (r = 0.129; p = 0.004), dan LJB (r = 0.173; p = 0.0001). Penglibatan aktiviti fizikal mempunyai hubungan dengan tahap kecergasan fizikal. Oleh itu, pelajar haruslah melakukan aktiviti fizikal secara sistematik dan berterusan untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan fizikal.


Reference
  • No Data Recorded