Konsep dan amalan peramal fesyen terhadap elemen kreativiti amat signifikan dalam memupuk pemikiran kreatif dan kritis dalam menyelesaikan setiap masalah. Kertas tinjauan sistematik ini menganalisis sebanyak sebelas artikel kajian lepas mengenai konsep dan amalan kreativiti dalam rekaan fesyen dan pakaian. Berdasarkan kesemua artikel yang terpilih, kandungan dan konteks setiap kajian dianalisis secara jelas dan teliti. Perbincangan kajian ini terbahagi kepada lima sub bahagian; rekabentuk penyelidikan, kaedah pengumpulan data, pemilihan sampel, fokus atau isu kajian serta persamaan dan perbezaan antara kajian-kajian yang terpilih. Berdasarkan dapatan daripada kajian-kajian yang dipilih, fokus atau isu kajian yang sering dibincangkan adalah proses dan kaedah yang diaplikasikan ke atas rekaan fesyen dan pakaian dengan mengadaptasikan setiap elemen kreativiti yang dimiliki oleh setiap peramal fesyen dan pakaian antarabangsa. Antara faktor – faktor yang mempengaruhi konsep dan amalan kreativiti dalam rekaan fesyen dan pakaian adalah pengetahuan dan kefahaman tentang isi kandungan dan konteks rekaan fesyen dan pakaian, pengalaman dan kemahiran dalam bidang, proses dan eksperimentasi yang dijalankan, pengurusan strategi pengajaran dan pedagogi, kaedah dan teknik yang diaplikasikan dalam rekaan, gaya pembelajaran murid yang berbeza, cabaran dan pengaruh persekitaran serta sumber dan material yang digunakan untuk membantu dalam merealisasikan setiap kajian yang dijalankan. Kesemua faktor tersebut telah dihuraikan secara mendalam dalam kajian-kajian yang terpilih. Terdapat juga penemuan yang mengagumkan seperti fokus atau isu kajian yang dibincangan serta persamaan dan perbezaan antara setiap artikel yang terpilih seterusnya dapat membantu pembaca mengenali dan memahami kajian-kajian lepas dalam konteks kajian yang dipilih dengan lebih berkesan.