Tadabbur al-Quran adalah proses interaksi terhadap al-Quran yang bersifat universal. Terdapat pelbagai kelebihan dan kebaikan sekiranya tadabbur disertakan ketika membaca al-Quran. Proses mentadabbur al-Quran boleh dilakukan dengan cara meneliti dan menghayati setiap ayat al-Quran yang dibaca termasuklah dengan menggunakan kemudahan aplikasi telefon pintar. Namun, cara penggunaan kemudahan telefon pintar oleh masyarakat pada hari ini amat membimbangkan di mana mereka lebih cenderung menghabiskan masa untuk berhibur dan kurang menjalankan kerja-kerja yang berfaedah, menghabiskan masa dengan melayari media sosial berbentuk hiburan berbanding slot agama dan wacana ilmu yang boleh menambah ilmu pengetahuan. Justeru, kajian ini bertujuan mendedahkan salah satu kaedah mentadabbur al-Quran menerusi aplikasi telefon pintar “Quran Tadabbur Digital†dengan memberi tumpuan kepada Surah al-Hadid sebagai dapatan awal dan contoh penyelidikan yang boleh dilakukan terhadap aplikasi-aplikasi dan surah-surah yang lain. Kajian ini menggunakan kaedah pemerhatian dan kaedah analisis kandungan bagi mengenal pasti penggunaan aplikasi tersebut sebagai salah satu cara mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran. Hasil dapatan kajian mendapati bahawa kaedah tadabbur yang digunakan menerusi aplikasi ini hanya menyentuh makna zahir ayat, dan tidak menyentuh perbahasan yang terlalu mendalam. Hal ini bertepatan dengan tujuan aplikasi ini dibuat iaitu memberikan maklumat dan kefahaman ringkas kepada masyarakat yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti mentadabbur ayat suci al-Quran. Oleh itu, penggunaan aplikasi telefon pintar “Quran Tadabbur Digital†sebagai salah satu cara dalam mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran adalah digalakkan demi memanfaatkan penggunaan telefon pintar dengan sebaiknya pada masa kini.