Kebimbangan matematik dan efikasi kendiri merupakan faktor psikologi utama yang mempengaruhi prestasi dan pengalaman pembelajaran matematik dalam kalangan murid. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji secara sistematik hubungan antara kebimbangan dengan efikasi kendiri murid dalam pembelajaran Matematik berdasarkan artikel-artikel terkini yang diterbitkan antara tahun 2021 hingga 2024. Sebanyak 16 artikel yang melibatkan data kajian daripada sembilan negara diperoleh melalui prosedur pemilihan yang berstruktur berdasarkan protokol PRISMA dari pangkalan data SCOPUS, Web of Science (WoS), dan ERIC. Kajian-kajian tersebut menggunakan pelbagai pendekatan metodologi termasuk kajian tinjauan, kuasi eksperimen, longitudinal, dan kajian campuran. Analisis menunjukkan bahawa kebimbangan mempunyai hubungan negatif dengan efikasi kendiri murid dalam Matematik, di mana peningkatan kebimbangan menurunkan keyakinan mereka. Kajian ini menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai impak kebimbangan matematik terhadap efikasi kendiri murid. Implikasi kajian ini adalah penting bagi pendidik dalam merangka strategi pengajaran dan program intervensi yang berfokus pada pengurusan kebimbangan, sekaligus memperkukuh keyakinan dan motivasi murid dalam pembelajaran matematik. Oleh itu, pengurusan kebimbangan matematik dalam konteks bilik darjah merupakan elemen kritikal bagi meningkatkan efikasi kendiri serta prestasi akademik murid dalam matematik.