Kajian kuantitatif tinjauan ini dijalankan untuk meninjau tahap dan hubungan antara tingkah laku kepimpinan guru besar dan beban kerja guru terhadap prestasi kerja guru-guru sekolah rendah dari tiga jenis sekolah di daerah Sarikei. Borang soal selidik yang direka bentuk daripada kajian-kajian lepas diedarkan kepada 127 orang responden guru sekolah rendah dari sekolah-sekolah terpilih. Data dianalisis menggunakan Statistic Package for Social Science (SPSS) bagi mendapatkan analisis deskriptif dan korelasi. Dapatan kajian mendapati tahap tingkah laku kepimpinan guru besar, beban kerja guru dan prestasi kerja guru di daerah Sarikei adalah sederhana manakala analisis hubungan korelasi menunjukkan adanya hubungan positif yang lemah bagi tingkah laku kepimpinan guru besar dan sederhana bagi beban kerja guru terhadap prestasi kerja guru. Secara umumnya, kajian ini mencadangkan agar kepimpinan sekolah dapat dipertingkatkan bagi meningkatkan kualiti prestasi kerja guru pada masa akan datang.