Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara amat bergantung kepada ahli-ahli komuniti yang berada di dalamnya untuk mencapai kesejahteraan hidup. Penyertaan dan komitmen kesemua ahli dalam komuniti adalah merupakan strategi asas dalam pembangunan komuniti. Penyertaan secara sukarela bagi masyarakat ini bukan hanya sebagai ahli sahaja, sebaliknya mereka juga bertindak bersama-sama untuk mencapai objektif program yang ditetapkan. Konsep pembangunan komuniti memerlukan kerjasama dan penglibatan daripada semua pihak sama ada daripada kementerian, jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta. Namun begitu, penyertaan aktif ahli komuniti amat penting dalam menentukan hala tuju pembangunan mereka sendiri. Pembangunan sosial merupakan kunci kepada membina kehidupan yang berkualiti. Program Pembangunan Sosial telah dijalankan untuk meningkatkan tahap kualiti hidup seluruh komuniti termasuk komuniti Orang Asli. Walaupun banyak Program Pembangunan Sosial telah dilaksanakan, namun pencapaiannya tidak begitu memberangsangkan termasuklah taraf pendidikan, tahap kesihatan, tahap pendapatan dan isu penyertaan mereka dalam Program Pembangunan Sosial. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan sesebuah komuniti tidak bersedia untuk melibatkan diri dalam Program Pembangunan Sosial yang dirancang kepada mereka. Berasaskan kepada isu ini, satu objektif telah dibangunkan iaitu mengenalpasti cabaran penyertaan komuniti Orang Asli dalam Program Pembangunan Sosial. Kajian ini dilaksanakan di perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman dengan menggunakan kaedah kualitatif iaitu pendekatan kajian kes. Data telah dikumpul menggunakan teknik pemerhatian dan temubual. Informan kajian terdiri daripada pihak agensi dan komuniti yang terlibat secara langsung dalam Program Pembangunan Sosial. Data dianalisis dengan menggunakan perisian NVIVO8. Hasil dapatan kajian mendapati bahawa terdapat dua faktor yang mempengaruhi kepada kurangnya pernyertaan komuniti Orang Asli dalam Program Pembangunan Sosial iaitu (i) faktor budaya dan persekitaran dan (ii) faktor tadbir urus.