Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal (TVET) merupakan salah satu pemacu kritikal dalam transformasi sistem pendidikan Malaysia. Bidang TVET juga merupakan penyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara dan berfungsi untuk membangunkan serta melengkapkan individu dengan kemahiran teknikal berdasarkan permintaan industri. Walau bagaimanapun, terdapat isu yang dihadapi oleh kerajaan dalam memperkasakan bidang TVET di Malaysia iaitu isu kesedaran pelajar dan ibu bapa terhadap kebolehpasaran pekerjaan dalam bidang TVET masih berada pada tahap sederhana. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan tentang TVET dalam kalangan pelajar dan ibu bapa. Kajian ini juga mengenal pasti usaha sekolah dalam meningkatkan tahap kesedaran pelajar dan ibu bapa dalam aspek kebolehpasaran pekerjaan dalam bidang TVET. Seterusnya, mengenal pasti tahap persepsi pelajar dan ibu bapa terhadap bidang TVET. Kajian yang dijalankan ini melibatkan 240 responden. Data set borang soal selidik dianalisis menggunakan perisian Statistical Package For Sosial Science (SPSS) versi 16 bagi mendapatkan peratus, min, dan sisihan piawai. Secara keseluruhannya, usaha meningkatkan kesedaran pelajar dan ibu bapa terhadap kebolehpasaran pekerjaan dalam bidang TVET berada pada tahap tinggi (m=4.03). Tahap pengetahuan dan tahap kesedaran pelajar dan ibu bapa juga berada pada tahap tinggi (m=4.36). Seterusnya, tahap persepsi pelajar dan ibu bapa terhadap bidang TVET juga berada pada tahap tinggi (m=4.28). Implikasi kepada dapatan ini ialah bidang TVET adalah satu aliran atau cabang pendidikan yang sangat penting dan tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pihak.