Kesediaan Guru Mengintegrasikan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pengajaran dan Pembelajaran
List of Authors
Maizatul Bahirah Abdul Aziz, Muhammad Helmi Norman
Keyword
kesediaan guru, kecerdasan buatan, AI-TPACK, pengajaran dan pembelajaran, pendidikan digital
Abstract
Perkembangan pesat kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) telah membawa perubahan ketara dalam landskap pendidikan dan menuntut kesediaan guru untuk mengintegrasikan teknologi ini secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menilai tahap kesediaan guru dalam mengintegrasikan AI dalam PdP serta mengenal pasti faktor-faktor signifikan yang mempengaruhi kesediaan tersebut. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif berbentuk tinjauan dengan pengumpulan data melalui soal selidik atas talian yang melibatkan 110 orang guru. Instrumen kajian dibangunkan berdasarkan kerangka AI-TPACK dan data dianalisis menggunakan perisian SPSS melalui analisis deskriptif dan regresi berganda. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kesediaan guru secara keseluruhan berada pada tahap tinggi, khususnya dari aspek pengetahuan kandungan dan pedagogi. Namun demikian, pengetahuan TPACK AI bersepadu mencatatkan skor yang lebih rendah berbanding dimensi lain, menunjukkan keperluan kepada pengukuhan kemahiran penyepaduan AI secara holistik. Analisis regresi mendapati bahawa pengetahuan dan kemahiran asas AI, pengetahuan kandungan teknologi AI, pengetahuan teknologi pedagogi AI, serta sikap terhadap penggunaan AI merupakan faktor signifikan yang mempengaruhi kesediaan guru, dengan pengetahuan teknologi pedagogi AI dikenal pasti sebagai faktor paling dominan. Secara keseluruhannya, kajian ini menegaskan bahawa kejayaan integrasi AI dalam pendidikan bukan sahaja bergantung kepada penguasaan teknologi, tetapi juga kepada keupayaan pedagogi dan sikap positif guru. Dapatan kajian ini diharap dapat menyumbang kepada perancangan program pembangunan profesional guru yang lebih sistematik bagi menyokong transformasi pendidikan digital berasaskan AI.