Penguasaan murid-murid ketidakupayaan pendengaran dalam Bahasa Inggeris berada pada tahap yang rendah. Susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka berubah kepada pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR). Salah satu kaedah yang digunakan semasa PdPR adalah mengintegrasikan kuiz dalam pembelajaran. Objektif kajian ini adalah mengenalpasti tahap persepsi murid ketidakupayaan pendengaran terhadap kuiz dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris semasa pelaksanaan PdPR. Kajian ini merupakan kajian deskriptif. Seramai 144 orang murid ketidakupayaan pendengaran yang mengalami tahap kepekakan ringan dan sederhana dan menggunakan alat bantu dengar telah dilibatkan dalam kajian ini. Sampel kajian dalam kajian ini terdiri dari murid-murid SKPK di lima buah negeri. Teori tingkah laku Thorndike diterapkan dalam kajian ini. Data bagi kajian ini dikumpul dengan menggunakan borang soal-selidik. Data-data kajian dianalisis menggunakan kekerapan, nilai peratus dan sisihan piawai menerusi perisian SPSS versi 20. Dapatan kajian menunjukkan tahap persepsi murid ketidakupayaan pendengaran terhadap kuiz dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris semasa PdPR berada tahap sederhana tinggi. Kajian lanjutan dicadangkan untuk melibatkan murid ketidakupayaan pendengaran yang menggunakan implan koklea.