Kajian ini bertujuan untuk meneroka percampuran kod semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kalangan guru Bahasa Melayu secara dalam talian di salah sebuah sekolah menengah di Daerah Song, Sarawak. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan menggunakan pendekatan deskriptif dengan melibatkan 2 orang guru Bahasa Melayu sebagai peserta kajian. Instrumen senarai semak pemerhatian digunakan sebagai instrumen utama dalam pengumpulan data. Dapatan kajian menunjukkan wujudnya percampuran kod dalam kalangan guru Bahasa Melayu sekolah menengah dalam PdP yang dijalankan dalam talian. Kajian yang dijalankan ini memberi implikasi terutamanya kepada guru Bahasa Melayu dan pihak pentadbir sekolah untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul di sekolah.