Keusahawanan menjadi landasan kepada transformasi ekonomi ke arah negara maju terutama dalam aspek penjanaan pekerjaan baru kepada graduan. Salah satu instrumen yang penting dalam keusahawanan ialah kemahiran yang dimiliki oleh pelajar sebelum bergraduan. Rentetan itu, timbul jurang antara prestasi keusahawanan masa kini dengan tahap amalan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar. Ini menjadikan kajian sejauh mana tahap kemahiran keusahawanan relevan dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, objektif kajian ini adalah untuk: a) mengenal pasti tahap kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah; b) mengenal pasti tahap budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah; dan c) mengenal pasti hubungan antara keseluruhan tahap kemahiran dan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Responden kajian ini terdiri daripada 150 pelajar tingkatan empat di sekolah menengah sekitar daerah Tuaran, Sabah yang dipilih secara rawak mudah dan menggunakan teknik persampelan berstrata. Data primer yang dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for social Science (SPSS) versi 21.0 menunjukkan dapatan kajian bagi tahap keseluruhan kemahiran adalah sederhana tinggi (skor min = 3.75). Manakala, terdapat hubungan yang signifikan antara keseluruhan tahap kemahiran dengan budaya keusahawanan pada tahap kekuatan yang tinggi (p < 0.05, r=0.774). Berdasarkan dapatan kajian ini, perbincangan dan implikasi turut dibincangkan.