Guru Bahasa Melayu seharusnya melaksanakan program yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tujuan pemerkasaan terhadap kurikulum murid. Pengenalan KPMPerkasaKU berkehendakkan kompetensi Guru Bahasa Melayu dalam menyampaikan kandungan kurikulum yang berkesan terhadap murid. Objektif kajian ini adalah untuk meneroka pelaksanaan pengajaran Guru Bahasa Melayu berteraskan KPMPerkasaKU. Oleh itu, kaedah kajian kualitatif dengan pendekatan kajian kes telah digunakan. Dua orang peserta kajian telah dipilih dan ditemu bual secara mendalam bagi mendapatkan data. Hasil kajian mendapati pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran mereka telah menumpukan terhadap kaedah pengajaran berteraskan pendekatan terbeza, tematik, modular, pembelajaran berasaskan projek dan laman SumberKU bagi mendukung pelaksanaan KPMPerkasaKU. Aktiviti pengajaran ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid terhadap kandungan asas kurikulum. Dapatan kajian ini memberi panduan kepada guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu untuk melaksanakan PdP yang berupaya merapatkan jurang penguasaan murid terhadap kandungan pembelajaran.