Salah satu daripada teks magnum opus Melayu iaitu Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya historiografi Melayu. Sulalatus Salatin bukan sahaja merakam susur galur keturunan raja-raja Melayu tetapi mempunyai banyak peristiwa dan kisah watak wanita di dalamnya. Citra wanita merupakan salah satu tajuk yang menarik untuk dikaji kerana watak-watak ini mengalami pelbagai konflik kerana sistem feudal yang mendasari pengkisahan teks ini. Citra watak wanita boleh dilihat melalui unsur konflik yang dialami mereka. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti watak-watak yang mengalami pertembungan konflik diri dan kedua menganalisis konflik diri watak wanita pilihan melalui teori psikoanalisis. Kajian ini merupakan kajian berbentuk kualitatif. Kajian kepustakaan dan analisis kandungan teks digunakan sebagai medium untuk menganalisis citra wanita melalui konflik diri yang dialami watak-watak wanita tersebut. Teori psikoanalisis aliran Freud ini akan digunakan bagi menghuraikan pelbagai jenis konflik diri yang dialami watak wanita yang diketengahkan oleh pengarang dalam teks Sulalatus Salatin. Hasil kajian memperlihatkan konflik diri watak wanita itu berdasarkan prinsip struktur personaliti manusia yang mempunyai tiga elemen yang diperkenalkan oleh Freud iaitu id, ego dan superego. Kesimpulan daripada analisis kajian menunjukkan citra wanita pada zaman feudal amat berbeza dengan citra wanita pada zaman kini dan setiap daripada watak wanita tersebut mengalami konflik diri yang pelbagai sehingga ada yang mampu mengundang kejatuhan sesebuah sistem politik negara.