Keberkesanan Pembelajaran Matematik dalam Talian
List of Authors
  • Lim Shi Cai, Siti Mistima Maat

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Pembelajaran dalam talian merujuk kepada penggunaan pelbagai platform dalam talian seperti Google Meet, Microsoft Teams, dan sebagainya untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran dalam talian telah diperkenalkan di kebanyakan negara sejak pandemik Covid-19. Pembelajaran matematik dalam talian telah memberikan cabaran kepada guru, pelajar, dan ibu bapa. Dengan itu, keberkesanan pembelajaran matematik dalam talian sering kali dipertikaikan. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan pembelajaran matematik dalam talian dan mengenal pasti aspek yang mempengaruhi keberkesanannya. Satu tinjauan literatur bersistematik (SLR) telah dijalankan untuk menganalisis kajian-kajian lepas yang disaring daripada Scopus dan WOS. Pemilihan artikel telah menggunakan kaedah carta alir dalam model PRISMA iaitu pengenalpastian, saringan, kelayakan dan kemasukan. Kriteria penerimaan artikel antara tahun 2018 hingga tahun 2022, bahasa Inggeris, jenis artikel dan dalam bidang pendidikan matematik. Sebanyak 21 artikel yang menepati semua kriteria pemilihan telah dikenal pasti dan dimasukkan dalam kajian SLR ini. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa 12 artikel menyokong bahawa pembelajaran matematik dalam talian adalah berkesan, sementara 9 artikel mendapat hasil dapatan yang bertentangan iaitu pembelajaran matematik dalam talian adalah kurang berkesan. Keberkesanan pembelajaran matematik dalam talian telah dibincangkan dari segi kefahaman pelajar terhadap kandungan matematik, motivasi pelajar dan penglibatan pelajar dalam pembelajaran matematik dalam talian. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa terdapat beberapa aspek yang dapat mempengaruhi keberkesanan pembelajaran matematik dalam talian. Antaranya komunikasi antara guru dengan pelajar dalam talian, kaedah pengajaran guru, kemahiran TMK guru dan pelajar, masalah talian dan perisian serta penglibatan ibu bapa. Kesimpulan, keberkesanan pembelajaran matematik dalam talian adalah bergantung kepada guru dan pelajar. Kajian ini berharap dapat membantu pihak berkenaan lebih memahami keberkesanan pembelajaran matematik dalam talian serta menjalankan tindakan untuk meningkat keberkesanannya.


Reference
  • No Data Recorded