Keupayaan Digital dalam Mengkomersialkan Pelancongan Inap Desa di Negeri Sembilan
List of Authors
Nur Ammera Suhaimai, Nur Aqilah Hazirah Mohd Anim, Siti Nurulhuda Nordin, Suhaida Herni Suffarruddin, Ummi Salwa Ahmad Bustamam
Keyword
Transformasi Digital, Inap Desa, Keupayaan Dinamik, Pelancongan Luar Bandar
Abstract
Perkembangan pesat teknologi digital telah mendorong keperluan mendesak bagi pengusaha pelancongan, termasuk pengusaha inap desa, untuk memanfaatkan teknologi digital dalam aktiviti promosi dan pengkomersialan perkhidmatan mereka. Pengusaha yang masih menggunakan kaedah promosi dan pemasaran konvensional perlu melakukan transformasi digital bagi menarik lebih ramai pelancong serta memastikan kelestarian produk pelancongan berdaya maju. Namun, sejauh manakah keupayaan pelanocngan inap desa dalam melaksanakan pendigitalan untuk mengkomersialkan pakej pelancongan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menerokai keupayaan pelancongan inap desa dalam mengkomersialkan produk pelancongan melalui teknik pemasaran digital. Kajian ini telah menggunakan pendekatan kualitatif, di mana temu bual mendalam secara perbincangan kumpulan focus (FGD) telah dijalankan terhadap sembilan penyelaras inap desa yang berdaftar di Negeri Sembilan. Data yang dikumpul daripada temu bual tersebut telah dianalisis menggunakan teknik analisis tematik untuk mengenal pasti tema utama berkaitan keupayaan dalam memanfaatkan teknologi digital. Hasil kajian ini dijangka memberikan sumbangan penting kepada perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang transformasi digital dengan memperluaskan konsep keupayaan dinamik. Di samping itu, penemuan kajian ini juga boleh digunakan sebagai panduan pengusaha inap desa dan pihak berkepentingan lain dalam industri pelancongan dalam merangka strategi pendigitalan yang dapat menyokong Dasar Pelancongan Negara (DPN 2020-2030) secara lestari dan inklusif, serta membantu merealisasikan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) untuk melahirkan usahawan yang berkualiti, kompetitif, dan berfikiran global.