Meneroka Amalan Pentaksiran dan Pembinaan Profil Pembelajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di Malaysia
List of Authors
Mohd Syazwan Zainal, Nadia Nabilah Fathi
Keyword
Pentaksiran, Profil murid, murid berkeperluan pendidikan khas
Abstract
Pembinaan profil murid yang komprehensif adalah prasyarat asas bagi pendidikan inklusif, namun pelaksanaannya di sekolah sering terhalang oleh jurang diagnostik-pedagogi dan kekangan kompetensi guru dalam menterjemah data klinikal. Kajian ini bertujuan untuk mencerakinkan epistemologi pengetahuan guru pendidikan khas dalam membina profil pembelajaran murid, dengan tumpuan khusus terhadap analisis sumber data dan instrumen yang digunakan bagi mengisi jurang maklumat dalam penentuan perkhidmatan. Mengadaptasi reka bentuk kajian kes pelbagai tempat (multiple case study), kajian ini meneroka pengalaman lima guru pendidikan khas berpengalaman di Johor yang dipilih menerusi persampelan bertujuan. Data dikumpul melalui temu bual mendalam separa berstruktur sehingga ketepuan data dicapai, divalidasi menerusi semakan peserta (member checking), dan dianalisis secara tematik. Dapatan mendedahkan bahawa pembinaan profil bukanlah prosedur pentadbiran linear, sebaliknya merupakan mekanisme triangulasi data yang dinamik. Dokumen klinikal berfungsi sebagai panduan, namun kesahihannya diperhalusi secara berterusan menerusi validasi kontekstual yang melibatkan anamnesis ibu bapa dan pemerhatian bilik darjah. Kajian turut menemukan elemen agensi guru (teacher agency) yang tinggi, di mana instrumen kendiri dibangunkan untuk mengatasi limitasi alat standard, sekaligus menganjakkan paradigma penempatan murid daripada umur kronologi kepada kompetensi fungsional. Dalam mendepani defisit maklumat, guru didapati memanipulasi 'kebijaksanaan praktikal' (phronesis) sebagai instrumen diagnostik utama. Kesimpulannya, profil murid adalah konstruksi sosial yang dibina secara organik oleh guru. Implikasi kajian mendesak penggubalan dasar integrasi data rentas agensi dan pemerkasaan literasi diagnostik dalam latihan perguruan demi menjamin ketepatan intervensi pendidikan.