Kursus Matematik merupakan kursus teras yang wajib diambil dan lulus oleh pelajar Politeknik Kuala Terengganu (PKT) untuk memenuhi syarat penganugerahan diploma. Namun, kegagalan pelajar dalam kursus Matematik setiap semester memberi kesan negatif kepada prestasi individu dan keseluruhan PKT. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan kolaborasi antara PKT dan industri dalam meningkatkan pencapaian kelulusan pelajar dalam kursus Matematik. Inisiatif ini dilaksanakan oleh Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK). Kajian ini melibatkan 50 sampel yang dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 26.0 melalui analisis statistik deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan hubungan positif yang signifikan antara markah Penilaian Berterusan dan Peperiksaan Akhir setelah pelaksanaan program kolaborasi PKT dan industri, dengan koefisien korelasi r(50) = .342. Analisis inferensi juga menunjukkan nilai Sig.= .015 (Ï < .05), yang menandakan terdapat hubungan signifikan antara pelaksanaan program kolaborasi PKT dan industri terhadap pencapaian gred lulus kursus Matematik di kalangan pelajar. Secara keseluruhannya, kajian ini memberikan bukti yang kukuh bahawa kolaborasi antara politeknik dan industri dapat membantu meningkatkan pemahaman dan pencapaian lulus pelajar dalam kursus Matematik. Penemuan dan implikasi dapatan kajian ini akan memperkukuhkan hubungan antara politeknik dan industri dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kebolehpasaran graduan.