Kajian ini adalah bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi pelajar Diploma Akauntansi (DAT) di Politeknik Hulu Terengganu (PHT). Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti adakah faktor pendedahan awal dalam subjek prinsip akaun, pengaruh sikap, minat dan kaedah pengajaran dan pembelajaran pensyarah mempengaruhi prestasi pelajar. Jumlah responden yang digunakan adalah 89 orang terdiri daripada pelajar Diploma Perakaunan Semester dua (2) hingga lima (5). Instrumen kajian yang digunakan adalah melalui soal selidik. Analisa data dibuat menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 21.0. Nilai kebolehpercayaan item adalah 0.902 menunjukkan kebolehpercayaan soalan yang amat baik. Hasil kajian menunjukkan faktor pengajaran dan pembelajaran pensyarah merupakan faktor tertinggi yang mempengaruhi prestasi pelajar dengan nilai min = 4.24, diikuti oleh faktor sikap (min = 3.81) dan faktor minat (min = 3.74). Kajian juga mendapati tiada hubungan yang signifikan antara pendedahan awal dalam subjek prinsip akaun dengan prestasi HPNM pelajar melalui ujian t(1.95) yang menunjukkan nilai 0.054 lebih besar dari nilai 0.05 signifikan . Oleh yang demikian,kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pihak Politeknik Hulu Terengganu dan juga pihak-pihak berkepentingan yang lain ke arah pendidikan yang cemerlang pada masa akan datang.