Masalah dalaman pentadbiran Johor, telah membuka ruang kepada pihak luar untuk campurtangan. Raja Kechil dari Siak telah mendakwa beliau merupakan putera kepada Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang atau Marhum Kota Tinggi) dalam usahanya untuk mendapat kembali tahta Johor daripada dinasti Bendahara. Tektik dan strategi yang digunakannya berjaya meraih sokongan banyak pihak dan akhirnya beliau berjaya. Namun begitu, sepanjang pentadbirannya keadaan huru-hara masih gagal dibendung. Rasa tidak puas hati dan dendam daripada anak-anak Bendahara telah menyebabkan beliau kecundang akhirnya kepada sebuah kuasa dari Sulawesi Selatan yakni Bugis. Pada tahun 1722, menyaksikan peristiwa penting dalam politik Johor. Pelantikan Daeng Marewah sebagai Yang Dipertuan Muda Johor menandakan kemunculan kuasa Bugis dalam politik kerajaan Johor-Riau. Kini mereka bukan sahaja bertapak di Johor, tetapi kejayaan berterusan dicapai oleh orang-orang Bugis di beberapa buah negeri di Tanah Melayu khususnya pada abad ke-18. Sikap Bugis yang suka merantau di Rumpun Melayu bagi mencari ilmu, meluaskan pengaruh dalam bidang perdagangan, menjadi pahlawan berjuang menentang penjajah serta pandai membawa diri untuk mencari rezeki dengan semangat dan kekuatan Jati Diri Bugis yang terkenal dengan “di hujung lidah†(petah berhujah), “di hujung keris (semangat juang dan kepahlawanan) dan “di hujung zuriat†(berkahwin dan melahirkan anak). Kemunculan kuasa Bugis di Nusantara pada abad ke-17 dan ke-18 khasnya di perairan Selat Melaka dan juga dalam episod sejarah Johor adalah perlu mendapat perhatian utama khususnya dalam konteks perjuangan orang Melayu untuk mengembalikan maruah dan kekuasaannya di Alam Melayu. Ini bermakna, peranan dan sumbangan orang-orang Bugis dalam sejarah Nusantara amat besar ertinya kepada bangsa Melayu.