Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang mempunyai kepelbagaian sumber untuk menjana ekonomi dan pendapatan negara. Pada tahun 2023, Malaysia dijangka akan mengalami tempoh yang agak sukar untuk berdepan dengan cabaran global yang ketara seperti krisis kos sara hidup ekoran tekanan inflasi yang berterusan. Perlaksanaan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) dan krisis kewangan yang berlaku dalam sistem monetari dunia sering juga turut dikaitkan sebagai punca utama kepada kenaikan harga barang. Masalah peningkatan harga barang sebenarnya menjadikan kos sara hidup seisi rumah meningkat walaupun gaji isi rumah masih kekal pada tahap yang sama. Selain itu, negara juga menghadapi masalah pengangguran di mana ratusan ribu rakyat kehilangan pekerjaan akibat daripada pandemik Covid-19. Hal ini menjadi persoalan kepada banyak pihak dalam membincangkan cara tebaik dalam menangani isu ini. Oleh itu, kajian ilmiah ini dilakukan adalah untuk mengenal pasti dan mengkaji faktor yang mempengaruhi indek harga penguna di Malaysia. Kajian ini berbentuk kajian emprikal dengan menggunakan model Ordinary Least Square (OLS) dan data siri masa sepanjang tahun 1982-2022. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan secara langsung antara faktor pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran, pertumbuhan populasi, dan nilai matawang Ringgit terhadap peningkatan kadar inflasi di Malaysia. Walaubagaimanapun, kadar faedah tidak mempunyai hubungan secara langsung kepada kadar inflasi.