Guru memainkan peranan yang penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan pendidikan iklusif. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap pengetahuan guru dalam pelaksanaan pendidikan inklusif di kelas TABIKA KEMAS. Untuk kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah kuantitatif di mana borang soal selidik yang bertindak sebagai instrumen kajian diedarkan bagi mendapatkan maklum balas daripada responden. Kajian yang dijalankan melibatkan 40 orang guru TABIKA KEMAS di daerah Hulu Langat yang menjadi sampel kajian ini. Analisis deskriptif telah digunakan untuk menjawab persoalan kajian di mana perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) digunapakai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan guru dalam melaksanakan pendidikan inklusif berada pada tahap sederhana. Berpandukan dapatan kajian yang dilaporkan, ianya memberikan gambaran yang jelas berkaitan dengan tahap pengetahuan guru dan halangan yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pendidikan inklusif. Justeru, penambahbaikan boleh dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pendidikan inklusif. Pelbagai kursus, latihan, bengkel serta penyediaan infrastruktur yang bersesuaian membolehkan pelaksanaan pendidikan inklusif dilaksanakan dengan jayanya.