Tahap Kesejahteraan Kewangan Ibu Tunggal Melayu di Terengganu
List of Authors
  • Sharifah Shahida Syed Muhsin

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap kesejahteraan kewangan ibu tunggal Melayu di Terengganu. Menurut Biro Perlindungan Kewangan Pengguna (2015), kesejahteraan kewangan mempunyai empat elemen utama iaitu, 1) mempunyai kawalan ke atas kewangan secara harian dan bulanan, 2) mempunyai kapasiti untuk menampung tekanan kewangan, 3) berada di landasan yang betul untuk memenuhi matlamat kewangan, dan 4) mempunyai kebebasan kewangan untuk membuat pilihan menikmati hidup. Kesejahteraan kewangan adalah kemampuan ibu tunggal dalam menguruskan kewangan mereka dari semua aspek kehidupan termasuk mampu membuat simpanan tetap setiap bulan. Sebaliknya, ketidakmampuan ibu tunggal menguruskan kewangan akan menyebabkan mereka berada dalam keadaan gelisah, takut dan panik sehingga boleh menyebabkan kemurungan. Kos sara hidup yang meningkat telah menyebabkan kegelisahan kepada ibu tunggal yang terpaksa menyara keluarga seorang diri. Ibu tunggal sering dikaitkan dengan masalah kemiskinan yang tidak berkesudahan terutama dalam sosioekonomi. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dengan mengedarkan instrumen dan borang soal selidik kepada 612 orang ibu tunggal yang bercerai hidup dan kematian suami. Dapatan kajian dianalisis menggunakan kaedah analisis deskriptif perisian IBM SPSS statistik. Hasil analisis deskriptif mendapati, ibu tunggal di Terengganu mempunyai tahap kesejahteraan kewangan pada tahap yang rendah iaitu, ibu tunggal  mempunyai masalah kewangan dan sangat risau akan masalah tersebut. Dapatan kajian ini relevan untuk penambahbaikan polisi dan dasar sosial kerajaan untuk lebih peka kepada keperluan ibu tunggal. Program sokongan juga perlu dipergiatkan kepada ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan. Agensi berkaitan perlu mengenal pasti keperluan bagi setiap keluarga yang mempunyai ibu tunggal sebagai ketua keluarga. Kesimpulannya, kajian ini telah membuktikan bahawa cabaran kewangan yang dihadapi sangat mempengaruhi kesejahteraan kewangan ibu tunggal.


Reference
  • No Data Recorded