Kajian ini bertujuan menilai pelaksanaan kurikulum pengurusan diri KSSR tahun 1 semakan (2017) secara menyeluruh berasaskan model Konteks, Input, Proses dan Produk (KIPP) yang dikemukakan oleh Stufflebeam dan Shinkfield pada tahun 2007. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan untuk memperoleh data tentang persepsi guru terhadap pelaksanaan Kurikulum Pengurusan Diri. Data kuantitatif diperoleh melalui borang soal selidik yang diedarkan kepada 300 orang guru sekitar negeri Johor yang mengajar mata pelajaran pengurusan diri tahun 1. Elemen-elemen dalam KIPP akan digunakan bagi menjawab persoalan kajian. Elemen-elemen yang terlibat dalam menilai pelaksanaan kurikulum pengurusan diri KSSR tahun 1 semakan (2017) iaitu dimensi konteks adalah kurikulum bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, matlamat dan objektif. Dari dimensi input, kemudahan bilik darjah, buku teks, peruntukan jadual waktu, multimedia dan kemahiran guru juga diutarakan. Dimensi proses melibatkan elemen pengajaran dan pembelajaran, pemantauan, penilaian amali dan hubungan guru dengan murid. Dari dimensi produk pula, aspek impak, kemampanan, kebolehpindahan dan aspek keberkesanan juga di aplikasi. Implikasi kajian ini diharapkan dapat membantu memantapkan kompetensi guru di dalam bilik darjah dan penguasaan kemahiran dapat dipertingkatkan lagi dalam kalangan guru supaya kemahiran yang ingin diajar dapat di aplikasi terhadap murid berkeperluan khas.