Semua guru mendepani pelaksanaan pengajaran norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Pandemik COVID-19. Perubahan corak pengajaran pendidikan konvensional memerlukan guru Bahasa Melayu memilih dan menguasai kaedah pengajaran dalam talian dengan berkesan. Kajian ini dijalankan untuk meneroka kaedah pengajaran dalam talian yang digunakan oleh guru Bahasa Melayu sekolah kebangsaan di kawasan bandar sepanjang tempoh PKP. Kajian ini dijalankan secara kualitatif yang melibatkan tiga orang guru Bahasa Melayu yang mengajar di tiga buah sekolah kebangsaan di kawasan bandar. Data temu bual dianalisis secara bertema. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru Bahasa Melayu telah menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang menarik mengikut keperluan murid seperti pembelajaran penyelesaian masalah, kaedah e-permainan (gamification), kelas berbalik, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran menggunakan modul semasa pengajaran bahasa Melayu dalam talian. Kepelbagaian kaedah pengajaran guru Bahasa Melayu dalam talian ini telah mempengaruhi penglibatan murid dalam PdP dalam talian.