Pengisytiharan situasi pandemik Covid -19 pada Mac 2020 telah mendorong Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) termasuklah aktiviti penasihatan akademik secara dalam talian. Sistem Penasihatan Akademik (SPAk) telah diperkenalkan di seluruh kolej komuniti bertujuan untuk memberi impak di dalam penasihatan bagi meningkatkan kemahiran generik, pencapaian akademik dan juga kesediaan pelajar bagi menghadapi cabaran industri. Kajian ini dijalankan bagi meninjau pelaksanaan Sistem Penasihatan Akademik Dashboard (e-SPAk) yang telah dijalankan di Kolej Komuniti Bagan Datuk( KKBgD). Kajian ini merupakan kajian tinjauan yang melibatkan keseluruhan populasi seramai 163 orang pelajar program Sijil Komputer dan Rangkaian (SSK) dan program Sijil Penyelenggaran Motosikal Berkuasa Tinggi. Satu (1) set borang soal selidik dengan 5 mata Skala Likert telah diedarkan dan data telah di analisis menggunakan perisian SPSS versi 26 yang melibatkan analisis kekerapan, peratusan, sisihan piawai dan juga nilai min. Daripada analisis yang dijalankan didapati bahawa pelaksanaan e-SPAK berada di tahap yang baik dengan nilai purata min sebanyak 4.44. Lebih daripada 85% pelajar bersetuju bahawa objektif perbincangan dan interaksi dua hala melalui e-SPAK tercapai. Selain itu, kebolehgunaan antaramuka dan capaian e-SPAk dashboard turut dikaji dan dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa nilai min kebolehgunaan antara muka dan capaian e-SPAk berada di nilai min yang tinggi iaitu 4.32. Namun begitu, terdapat nilai peratusan sebanyak kurang daripada 2% pelajar tidak berpuas hati dengan kebolehgunaan e-SPAK. Kajian ini mendapati bahawa aktiviti penasihatan akademik boleh dijalankan secara berterusan melalui dalam talian dan mampu mencapai objektif yang telah ditetapkan. Ini berikutan, generasi pelajar masa kini merupakan generasi digital native yang mempunyai kemampuan yang tinggi untuk belajar melalui dalam talian.